Tuesday, January 17, 2017

Iman+Taqwa+ Ilmu+Tazkirah = Kunci Kejayaan


Situasi A
”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya, tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak ada”

Situasi B
”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.” 

Situasi C
”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.”

Apakah penanda aras bagi kejayaan?

Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita  kata mahu jadi manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah dalam berfikir.

Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang  kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui  peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah  diri.

Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian.

Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahuinya.” Persoalannya sudah tentu berkaitan dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)  tidak ragu-ragu lagi.

            Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan  yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri orang yang beriman yang mesti ada pada kita.

            Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan tidak  sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.....

Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman  dapat dikatakan sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar."

Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, dijamin akan berjaya kerana mereka dijanjikan jalan keluar  (dari segala perkara yang menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati. (lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa akan gagal dalam kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bicara tentang Ilmu Pengetahuan

 Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”  semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah lagi,  adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (berilmu)...,”

Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami sesuatu perkara seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan. Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia jdapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan, ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan menggunakan ”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109 bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
 
Bicara tentang Pembersihan Jiwa

”Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya” layakkah kita untuk berkata begitu? Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan izin Allah jika kita tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya.

Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita, diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih seperti kain putih bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar.

Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup  tidak sia-sia.  Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa.

Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu, pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa ilmu adalah kosong.

Solusi  Menuju Kejayaan

Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua kaliyang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati, bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan, kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya dari fikir dan fikir kita akan temukan jawapan,  kita ingin menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin  menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki. Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini?

*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian.

 Oleh: Ustazah Nik Norliza binti Mustapa
Sumber:JAKIM

Monday, January 16, 2017

Menyertai Polisi Insurans Konvensional: Halal Atau Haram?




Mencari sesuatu yang halal untuk dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT ke atas setiap Muslim, kerana mengambil yang halal itu dapat menambah cahaya iman dan membuat termakbulnya doa dan diterima amal ibadah, sebagaimana memakan yang haram boleh menghalang doa dan ibadat dari diterima oleh Allah SWT.  [1] Rasulullah SAW bersabda;
وعن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم.[ [2]  رواه الطبراني في الأوسط وإسناده حسن
Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda; “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).

Merujuk kepada persoalan hukum insurans konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) telahpun memutuskan hukum berkaitan dengannya dalam beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional.

Secara umumnya semua jenis insurans konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta memperomosikannya juga adalah haram. Berikut dilampirkan keputusan-keputusan muzakarah berhubung insurans konvensional:

Hukum insurans nyawa.

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
a.     Mengandungi gharar (ketidak-tentuan) 
b.     Mengandungi unsur judi. 
c.     Mengandungi muamalah riba.[3]
Hukum insurans am

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.[4]

Hukum mempromosikan produk insurans konvensional.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah.

Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba.

Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.[5]

Selain dari status hukum isurans nyawa, insurans am dan hukum mempromosikan produk tersebut, muzakarah turut membincangkan tentang status pampasan polisi insurans konvensional selepas kematian pembeli polisi, pada muzakarah kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011..

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
a.     Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.    
 
b.     Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.   
 
c.     Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin. 
 
d.     Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (c) di atas.
Berdasarkan keputusan-keputusan yang disebutkan di atas, jelas menerangkan tentang status hukum bagi insurans konvensional. Justeru, umat Islam sewajarnya meninggalkan produk-produk konvensional yang telah diharamkan oleh Allah SWT.

Sebagai alternatif kepada produk-produk konvensional tersebut, umat Islam hendaklah mengambil produk-produk takaful yang patuh syariah yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan secara Islam. 

Dewasa ini tiada lagi alasan darurat yang mendesak umat Islam untuk tidak mengambil dan menggunakan produk-produk perlindungan berasaskan takaful yang patuh syariah. Bahkan menjadi kewajipan pada mereka untuk mendokong produk-produk berasaskan takaful, sebagai menggantikan produk-produk konvensional yang diharamkan dalam Islam.

Sekarang ini pengguna boleh memilih syarikat-syarikat pengendali takaful patuh syariah, yang telah diberikan lesen oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Buat masa ini terdapat 12 syarikat pengendali takaful yang patuh syariah di Malaysia sebagimana dipaparkan dalam web BNM[6].

Syarikat-syarikat tersebut ialah:
a.     AIA AFG Takaful Bhd
b.     AmFamily Takaful Berhad
c.     CIMB Aviva Takaful Berhad
d.     Etiqa Takaful Berhad
e.     Great Eastern Takaful Sdn Bhd
f.      Hong Leong MSIG Takaful Berhad
h.     ING PUBLIC Takaful Ehsan Berhad
i.      Prudential BSN Takaful Berhad
j.      Syarikat Takaful Malaysia Berhad
k.     Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
l.      MAA Takaful Berhad.

KESIMPULAN

Islam mewajibkan umat Islam mencari sesuatu halal dalam segenap perkara. Sehubungan itu, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk meninggalkan produk-produk perlindungan insurans konvensional kerana ia adalah produk yang tidak diharuskan dalam Islam.

Justeru, umat Islam di negara sewajarnya memastikan mereka hanya menggunakan produk-produk perlindungan takaful yang berteraskan Islam yang patuh syariah.


Sumber: Abdul Muhaimin Mahmood

BAHAYA HUTANG, TAPI ANDA TIDAK MENYEDARINYA....



Mutakhir ini kita dapat melihat betapa masyarakat kita sangat ghairah berhutang dalam mendapatkan barang keperluan dan perkara yang mereka hajati.

Berhutang pada setengah orang telah menjadi satu budaya yang dianggap sihat khususnya dalam menunjukkan kemewahan dan bermegah-megah dengan harta dan barangan yang mereka miliki.

Musim perayaan, cuti persekolahan dan hujung tahun sebelum sesi persekolahan baru bermula, makin banyak hutang dibuat kerana mahu menampakkan kemewahan dengan mendapatkan semua yang baru, meskipun yang lama masih elok dan barangkali hanya baru dipakai sekali dua sahaja. Istilah biar papa asal bergaya nampaknya makin menular dalam masyarakat dewasa ini.

Perasan atau tidak, hakikatnya masyarakat kita kini telah terperangkap dalam fenomena suka berhutang yang kurang sihat, tetapi dianggap sebagai sihat oleh mereka.

Amat pilu dan menyedihkan lagi, yang terlibat dalam fenomena ini juga adalah orang melayu yang Islam merupakan akidah dan pegangan mereka.

Hari demi hari keadaan ini makin memilukan apabila aktiviti berhutang telah menjadi asas kepada kehidupan masyarakat dewasa ini.

Tidak dinafikan berhutang adalah diharuskan dalam Islam bagi mereka yang memerlukan dan berhajat kepadanya, namun dalam masa yang sama perlu juga kita tahu bahawa Islam sesekali tidak menggalakkan berhutang dijadikan sebagai cara untuk bermewah-mewah, bermegah-megah dan dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.

Lebih memilukan lagi terdapat sesetengah orang yang beranggapan hutang merupakan mekanisma, kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Kesannya makin ramai individu yang berkemampuan membuat pembelian dan transaksi secara tunai telah memilih untuk berhutang dalam mendapatkan apa yang mereka iginkan seperti membeli rumah, kereta, perabut dan sebagainya. Alasan mereka, jika perbelian dibuat secara tunai maka mereka akan rugi.

Statistik hutang dan muflis

Statisti hutang yang dilaporkan melalui dada-dada akhbar dari badan-badan yang berautoriti dalam negara, cukup menunjukkan kita betapa hutang sudah menjadi darah daging yang seakan tidak dapat dipisahkan dari masyarakat dewasa ini.

Kesannya banyak telah muflis disebabkan hutang. Suka saya petik beberapa keratan akhbar yang menjelaskan tentang fenomena yang kurang sihat ini:

1. …1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit.

Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis. Petikan Utusan Online, 21/03/2011 bertajuk “Senarai hutang menanti pada usia muda”.

2.  ...Ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan.Pada 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki. Petikan Utusan Online, bertarikh 03/03/2011.
      
3.    Menurut Pengurus Besar AKPK [Azman Hasim] sejak 2007 hingga 28 Februari lalu, 144,720 individu menanggung hutang di seluruh negara mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan agensi itu termasuk 55,225 orang mengikuti Program Pengurusan Kredit.
Menurutnya, individu paling banyak menghadapi hutang adalah golongan berusia antara 30 hingga 40 tahun, berkahwin dan gaji tahunan kurang RM24,000.  
Harian Metro:http://www.hmetro.com.my/articles/144720terimakaunselingAKPK/Article.

Menurut Datuk Omar Osman Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Semua ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya budaya berhutang dalam masyarakat dewasa ini, lebih-lebih lagi bagi penjawat awam yang lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dari pelbagai institusi kewangan.

Hutang penyumbang bahana dunia dan akhirat

Semakin banyak transaksi berteraskan hutang bermakna makin berkembanglah amalan riba, pecah amanah, rasuah, penyeliwengan, penipuan, pemerasan dan ugutan, pembunuhan, makin kurang produktiviti kerja, keruntuhan rumah tangga meningkat dan sebagainya lagi. 

Ini kerana penyakit suka berhutang merupakan antara faktor dan penyumbang kepada masalah tersebut.
Tamakkan harta dan cintakan dunia telah melupakan manusia pada akhirat. Kecintaan mereka pada dunia melupakan pada kesan buruk dari perbuatan tersebut.

Mereka lupa pada sabda Rasulullah SAW: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38).

Mereka lupa yang Rasulullah sentiasa mohon dilepaskan dari belenggu hutang.

Dalam satu hadis diriwayatkan bahawa Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214).

Tidak kurang banyak juga berlaku dewasa ini, individu yang suka berhutang atau meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali.
Mereka ini lupa pada sabda nabi SAW “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83).

Budaya suka meminjam juga boleh menyebabkan seseorang individu menjadi muflis diakhirat nanti. Sekiranya mereka tidak dapat melunaskan hutang mereka didunia, mereka akan dituntut membayarnya di akhirat.

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ.
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW, bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab:  "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada  harta benda;" Nabi SAW., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat,  sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka. 

Kesimpulan

Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan wasilah untuk bermewah dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan  asas yang kukuh.

Cintakan dunia, tamak, riya’, takabbur, hasad, suka menunjuk-nunjuk dan tidak bersyukur dengan apa yang ada antara faktor penyumbang kepada tabiat suka berhutang yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan akhirat. Bagi mengatasi sikap suka berhutang, faktor-faktor yang menjurus kepadanya hendaklah  diatasi dan diperangi dengan gigih dan tabah.

Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu iaitu:

1.     Tamak dan buruk sangka. Maka aku menghadapinya dengan sifat menaruh  kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
2.     Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
3.     Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas aku menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
4.     Kagum terhadap diri sendiri ('ujub) lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah dan kepada akibat yang buruk.
5.     Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
6.     Hasad (dengki) lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana `ah) dan redha terhadap kuniaan Allah SWT kepada makhlukNya.
7.     Riya' dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapinya dengan ikhlas.
8.     Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pads makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di nisi Allah SWT.
9.     Takabbur (membesar diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawadhu'.
10.   Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia. (Fathi Yakan, Maza yakni i'timai bi al-Islam. Lihat juga: Zulkifli Bin Mohammad al-Bakri, Integriti dalam Islam, Universiti Sains Islam Malaysia:Nilai, 2007, hlm.91-92.
sumber: Abdul Muhaimin Mahmood


DOSA TIDAK BERZAKAT



Hati mana yang tidak sedih melihat paparan di media berkenaan kemiskinan dan kemelaratan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam dunia moden hari ini, masih lagi terdapat orang yang tinggal dalam kotak, menginap bawah jambatan, dalam kandang haiwan dan sebagainya.

Diberitakan juga kisah-kisah pesakit kronik yang terlantar tanpa bantuan, orang kelainan upaya dan kanak-kanak terbiar tanpa perlindungan. Demikianlah episod-episod sedih dalam sebuah kehidupan di alam realiti.

Bagi membendung masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup, Islam telah mendatangkan penyelesaian yang sangat tepat dan berkesan. Islam telah menjadikan zakat sebagai kewajipan kepada umat sehingga ia termasuk dari rukun Islam.

Zakat adalah ketetapan Ilahi. Ini bererti, tidak sempurna keislaman seseorang itu apabila enggan mengeluarkan zakat setelah cukup syarat-syaratnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Islam dibina atas lima: Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya. (riwayat Muslim)

Sebab itu, Abu Bakar As-Siddiq r.a telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan membayar zakat walaupun mereka menunaikan kewajipan yang lain seperti solat.

Walaupun tindakan Abu Bakar untuk memerangi mereka itu tidak dipersetujui oleh para sahabat di peringkat awal, tetapi akhirnya mereka bersetuju secara ijmak setelah diberikan penjelasan oleh Abu Bakar.

Allah SWT sering menggandingkan kewajipan mengeluarkan zakat bersama dengan perintah mendirikan solat.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 34)

Islam telah mengajar kita cara berekonomi dan penggemblengan modal menerusi pengumpulan dana sama ada yang bersifat sukarela (derma dan wakaf) atau wajib (berzakat). Sehingga Allah menjanjikan ganjaran yang amat besar sekali kepada mereka yang melakukannya dan azab yang amat dahsyat kepada yang mengingkarinya.

Ia sebagaimana firman-Nya menegaskan: Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku sediakan bagi mereka yang bertaqwa, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka yang beriman dengan keterangan-keterangan Kami (Allah). (al-A'raf: 156)

Walaupun kutipan zakat melalui pusat-pusat zakat semakin bertambah dari tahun ke tahun, namun ia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan.

Jumlah zakat dilihat tidak seimbang dengan bilangan masyarakat Islam yang berkemampuan di negara kita. Ini menunjukkan kesedaran tentang pembayaran zakat perlu diperluaskan dan diperhebatkan lagi untuk memberikan kefahaman dan untuk memurnikan salah faham tentang zakat.

Sebagai contoh, terdapat golongan yang beranggapan bahawa zakat yang diwajibkan hanyalah zakat fitrah yang ditunaikan pada bulan Ramadan.

Sedangkan banyak lagi jenis-jenis zakat yang difardukan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, tanaman, haiwan ternakan, galian, emas dan perak.

Orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan mempunyai kemampuan yang cukup akan dikenakan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.

Penderitaan tersebut dikenakan kepada mereka disebabkan sikap pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri sehingga sanggup untuk melihat kemiskinan terhampar di hadapan matanya, padahal mereka mempunyai kemampuan dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (al-Taubah: 34-35)

Begitu juga dengan ancaman berat yang diberikan oleh Nabi SAW terhadap mereka yang enggan mengeluarkan zakat. Hadis nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya. (riwayat Muslim)

Zakat agih kekayaan

Zakat dengan konsepnya yang tersendiri mampu mengatasi masalah pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Lapan asnaf yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas adalah segmen-segmen penting dalam masyarakat untuk diprioritikan bantuan kepada mereka.

Mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian sebagai sebagai sebuah komponen yang unik dalam masyarakat.

Zakat juga penting bagi tujuan pembinaan ekonomi negara. Ini adalah kerana, zakat dapat menjadi sumber kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan modal.

Modal ini boleh digunakan sebagai permulaan untuk perniagaan bagi menjana pendapatan. Pusat Zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri menyediakan pula khidmat nasihat dan pemantauan terhadap operasi perniagaan mereka dari masa ke semasa.

Apabila mereka sudah mencapai tahap yang memuaskan dalam perniagaan yang dijalankan, maka tibalah giliran mereka pula untuk mengeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf lain.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat di kalangan golongan asnaf yang tidak mampu untuk bekerja kerana penyakit kronik atau kecacatan anggota badan.

Justeru, zakat yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyara kehidupan mereka termasuklah makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan kos perubatan.

Kesimpulannya, zakat adalah penting sebagai sumber perekonomian masyarakat Islam. Ia bukan sahaja dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik, bahkan ia juga dapat merancakkan kegiatan dan pertumbuhan ekonomi umat Islam.

Apa yang berbaki adalah, sama ada kita yakin atau tidak.

Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 25 Januari 2012.